SOALAN LAZIM / FAQ (KORBAN)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Ibadah Korban.

Ibadah Korban atau Udh-hiyyah dalam Bahasa Arab membawa maksud iaitu menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kambing atau bebiri, kerbau dan unta pada Hari Raya Korban (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) dengan niat semata-mata ingin mendekatkan diri kepada Allah.

Binatang korban hendaklah di sembelih selepas solat sunat dan dua khutbah yang ringkas pada Hari Raya Eidul Adha. Ternakan yang disembelih sebelum solat atau selepas jatuh matahari pada hari tasyriq ke-3 (13 Dzulhijjah) tidak lagi termasuk sebagai korban.

“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat Eid, dia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri (tidak menyembelih korban) dan sesiapa yang menyembelih selepas solat Eid maka sempurnalah ibadahnya dan dia telah melaksanakan sunah kaum muslimin dengan tepat.” – Hadis Sahih Muslim no. 1908

2. Apakah hukum melakukan Ibadah Korban.

Hukum korban ialah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut atau diberatkan kepada umat Islam yang mampu. Manakala hukum meninggalkannya ialah makruh. Dalil kepada Ibadah Korban ialah firman Allah SWT yang bermaksud;

 “ Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” Surah Al-Kautsar ayat 2

Sebagai renungan kepada umat Islam yang mampu, kami catatkan dibawah 2 perkara penting untuk diberikan pertimbangan berkaitan hukum Ibadah Korban;

a. Rasulallah SAW bersabda dalam hadisnya dengan memberi amaran keras kepada umat Islam yang mampu tetapi tidak melaksanakan ibadah korban;

“Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.”

b. Mazhab Hanafi pula menghukumkan Ibadah Korban ini sebagai wajib bagi mereka yang berkemampuan.

Berbalik kepada maksud ayat Surat Al-Kautsar diatas, Qatadah, ‘Ata dan Ikrimah berkata,”Bahawa maksud solat disini ialah Solat Hari Raya dan menyembelih binatang kerana korban.”

Ibn Kathir berpendapat, maksud sembelih yang sebenarnya ialah menyembelih binatang kerana beribadat. Ini selaras dengan hadis Al-Barra bin ‘Azib menurut Bukhari dan Muslim; Rasulullah SAW sembahyang hari raya kemudian Baginda menyembelih binatang korban dan bersabda,

“Sesiapa yang bersembahyang seperti sembahyang kami dan menyembelih korban seperti sembelihan korban kami, sesungguhnya mereka memperolehi ganjaran pahala korban dan sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang, maka tidak ada pahala korban untuknya.”

3. Apakah hukum Korban Nazar.

Jika seseorang telah bernazar untuk menyembelih korban maka wajiblah untuk dia melaksanakan korban tersebut.

4. Bilakah binatang korban disembelih.

Lazimnya, Al-I’tisam menyembelih binatang korban pada 10 Dzulhijjah selepas ditunaikan solat sunat Eidul Adha di semua negara kami melaksanakan korban.

Walau bagaimana pun, kadang kala berlaku kesulitan dari segi logistik dan masalah setempat seperti dikawasan konflik, maka waktu korban terpaksa dilewatkan sedikit kepada hari tasyrik. Alhamdulillah, belum pernah berlaku  korban tidak dapat dilaksanakan seperti yang dikehendaki oleh syarak.

5. Apakah jenis-jenis ternakan yang dibuat korban.

Al-I’tisam menerima korban untuk ternakan seperti lembu, kambing dan bebiri sahaja. Sila rujuk laman utama web ini untuk mengetahui jenis ternakan korban yang ditawarkan mengikut negara.

6. Bagaimana pula dengan pembahagian binatang korban.

Seperti yang ditentukan oleh syarak, lembu terbahagi kepada 7 bahagian. Peserta korban boleh mengambil 1 bahagian atau beberapa bahagian samada untuk diri sendiri atau tanggungan.

Seekor kambing atau bebiri pula hanyalah untuk seorang peserta korban sahaja dan tidak boleh dibahagi atau dikongsi dengan sesiapa.

7. Bolehkah seekor lembu dikongsi dengan peserta-peserta yang berlainan niat.

Ya boleh. Seekor lembu boleh dikongsi oleh peserta-peserta yang berbeza niat seperti niat korban dan akikah.

(Nota tambahan; malah boleh juga berkongsi dengan orang yang niatnya untuk makan sahaja ataupun untul dijual)

8. Berapakah umur binatang korban yang dikorbankan.

Pihak Al-I’tisam sentiasa memantau supaya binatang yang dikorbankan cukup umur sepertimana garis panduan yang diberikan oleh syarak;

a. Lembu – lebih 2 tahun.

Umur lembu ditentukan dengan memeriksa secara rambang giginya dan lembu berumur 2 tahun atau lebih mesti mempunyai sekurang-kurangnya 2 pasang gigi kekal.

b. Kambing – lebih 2 tahun.

Kambing mesti mempunyai  sekurang-kurangnya 2 pasang gigi kekal.

c. Bebiri – 1 tahun.

Binatang ternakan tersebut dikira cukup umur jika telah bersalin gigi susu.

9. Bolehkah melakukan korban untuk orang lain.

Tidak sah melakukan korban untuk orang yang masih hidup tanpa keizinannya kecuali ia dilakukan oleh wali kepada orang tersebut. Sebagai contoh, seorang ayah atau datuk melakukan korban untuk anak atau cucu kepadanya, tidaklah perlu dia meminta izin daripada anak atau cucu tersebut terlebih dahulu malah korban tesebut boleh dibuat walaupun anak atau cucu tersebut tidak mengizinkan.

10. Adakah sah kalau melakukan korban untuk orang yang sudah mati(meninggal dunia).

Tidak sah kecuali orang yang mati(meninggal dunia) telah berwasiat supaya melakukannya dan daging korban tersebut hendaklah disedekahkan kesemuanya.

11. Apakah jantina ternakan yang dikorbankan.

Al-I’tisam sentiasa memilih ternakan yang sihat, cukup sifat dan menepati kehendak syarak samada ternakan jantan atau betina untuk untuk dijadikan korban. Walau bagaimana pun kami mengambil langkah berhati-hati agar ternakan betina yang dipilih tidak bunting.

12. Bagaimana peserta korban untuk berniat korban.

Al-I’tisam ada menyediakan teks niat korban dalam Borang Korban. Sila berniat mewakilkan korban tersebut kepada Al-I’tisam semasa membuat bayaran samada tunai, melalui pemindahan bank dan sebagainya. Niat korban mencukupi dengan niat pada diri sendiri sahaja.

13. Adakah Al-I’tisam ada menganjurkan Program Korban dan Akikah di Malaysia.

Boleh dikatakan di negara kita Malaysia, setiap buah masjid samada di kampung ataupun di bandar menganjurkan Ibadah Korban dan Akikah. Ada masjid yang menyembelih binatang korban dan akikah dengan begitu banyak sehingga menjadi masalah pula untuk mengedarkan daging korban sampai ada orang yang mengambil kesempatan datang mengambil daging korban berulang kali terutama kalangan pendatang asing.

Sebelum ini kami pernah menganjurkan korban dan akikah di beberapa tempat di Terengganu dan Sabah atas keperluan yang ada ketika itu. Jika keperluan yang sama timbul kembali, program ini akan disambung semula, insyaallah.

Kami merasakan elok bagi kami melaksanakan korban dan akikah di luar negara sahaja dengan keutamaan diberikan di kawasan-kawasan miskin dan dilanda konflik. Kebanyakan tempat-tempat kami melaksanakan korban dan akikah, tidak ada kumpulan lain samada NGO atau individu selain kami yang berkorban disitu.

Di negara-negara seperti Kemboja dan Bangladesh (Rohingya), Hari Raya Korban ini adalah waktu dan ketika yang sangat dinanti-nantikan. Inilah sahaja satu hari dalam setahun mereka dapat merasa makan daging. Itu pun bukannya banyak tetapi sekadar 300gm ke 500gm untuk satu keluarga.

Seterusnya, korban dan akikah di Malaysia kos sebahagian korban dan akikah sangat tinggi. Tahun 2017 ini kemungkinan korban dan akikah di Malaysia berharga diantara RM550 ke RM700 sebahagian. Kos ini adalah jauh dari jangkauan kumpulan berpendapatan rendah. Korban dan akikah di luar negara adalah serendah RM280 sahaja sebahagian. Ini memberi peluang kepada kumpulan yang kurang berkemampuan untuk menyahut perintah korban atau akikah tersebut.

Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan memberi fokus kepada korban dan akikah di luar negara sahaja dan pihak masjid dan individu lain melaksanakan korban di Malaysia.

14. Bagaimanakah daging korban dibahagi-bahagikan.

Di setiap negara Al-I’tisam melaksanakan korban, kami akan diwakili oleh rakan NGO atau wakil yang kami lantik secara terus. Rakan NGO atau wakil Al-I’tisam di negara-negara berkenaan bertanggungjawab memilih, membeli, mengedarkan ternakan atau daging korban mengikut kesuaiannya.

Kesemua rakan NGO atau wakil Al-I’tisam berpengalaman dalam menguruskan tugasan mereka dan melaksanakan tugasan masing-masing mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Al-I’tisam. Wakil-wakil I’tisam diperingkat kampung selalunya terdiri daripada imam-imam masjid iaitu orang-orang yang berwibawa dan dihormati masyarakat setempat. Manakala wakil di kem pelarian terdiri daripada ketua masyarakat di kem berkenaan yang dipilih oleh warga kem diatas keperibadian dan kepimpinannya yang baik.

Rakan NGO atau wakil Al-I’tisam telah menyediakan dan mengemaskini senarai wakil kampung atau wakil kem pelarian daripada senarai-senarai korban tahun-tahun sebelumnya.  Wakil-wakil kampung atau wakil-wakil kem pelarian ini pula akan menyediakan dan mengemaskini senarai fakir miskin dikampung atau di kem pelarian mereka. Berdasarkan senarai tersebut, barulah diputuskan jumlah ternakan korban atau bungkusan daging korban yang akan diperuntukan kepada mereka.

Al-I’tisam hanya melaksanakan korban diluar negara sahaja. Sehubungan dengan itu, jika korban tuan puan dilaksanakan dengan Al-I’tisam, kesemua daging korban ini akan disedekahkan kepada fakir miskin sepenuhnya di negara-negara berkenaan.

Rakan NGO dan wakil-wakil ini perlu menunjukan bukti seperti gambar ternakan dan video proses penyembelihan dan pengedaran daging korban sebagai bukti bahawa korban tersebut telah dilaksanakan.

Al-I’tisam pula akan menghantar kakitangan kami ke beberapa negara untuk membuat pemantauan kepada pelaksanaan korban disana. Sehinga kini, Alhamdulillah hasil kerjasama, usaha gigih dan perancangan yang baik, program-program korban di tahun-tahun sebelum telah dapat dilaksanakan dengan baik dan memuaskan.

15. Apakah pengesahan yang diberikan kepada peserta korban setelah korban dilaksanakan.

Pihak Al-I’tisam memberikan sekeping sijil korban kepada setiap peserta korban sebagai pengesahan korban telah dilaksanakan dengan sempurna. Sijil ini akan mengambil sedikit masa untuk disiapan serta dikirim kepada peserta. Tetapi jika selepas 3 bulan sijil masih belum diterima, peserta korban diminta menghubungi pihak kami dengan segera.

Seboleh-bolehnya, gambar ternakan korban peserta akan dimasukan dalam sijil. Tetapi mulai tahun lepas, di zon konflik seperti di Burma malah di Bangladesh juga, usaha membantu warga Rohingya di negara tersebut sering diganggu oleh pihak berkuasa. Oleh itu, ada ketikanya proses mengambil gambar menjadi begitu sukar kerana lokasi korban terpaksa bertukar-tukar untuk mengelakan gangguan dan halangan.

16. Bagaimana cara untuk menyertai Ibadah Korban anjuran Al-I’tisam.

Tuan puan boleh melaksanakan Ibadah Korban dengan mudah melalui program anjuran Al-I’tisam ini. Cara-caranya adalah seperti berikut;

a. Dapatkan maklumat lanjut berkaitan Program Ibadah Korban Al-I’tisam 1437H/2016 daripada

  1. Laman web Al-I’tisam Relief Program Association di korbanakikah.arp.org.my atau di Facebook kami di www.facebook.com/alitisamreliefprogram
  2. Menelefon talian +603-7846 1880 atau +6016-205 1880 (whatsapp)
  3. Menghantar e-mel ke info@arp.org.my.
  4. Atau datang sendiri ke pejabat kami di 20A, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor diantara 8.30am hingga 5.30am pada hari Isnin hingga Jumaat.

b. Isi Borang Korban / Akikah 1437H/2016 dengan lengkap dan hantar;

  1. Secara online, atau
  2. E-mel ke info@arp.org.my, atau
  3. Faks ke talian +603-78460477, atau
  4. Datang sendiri ke pejabat kami.
  5. Pos (dihantar selewat-lewatnya sebelum  29 September 2017)

c. Bayaran boleh dibuat dengan pindahan bank atau memasukan wang tunai ke akaun kami atau membayar tunai dengan menghadirkan diri di pejabat kami.

  1. Kepilkan slip bank bersama dengan Borang Korban / Akikah kepada kami seperti (b) diatas.
  2. Tanpa slip bank (bukti bayaran) penyertaan tuan puan akan DITOLAK.

 

TEMPAH SEKARANG !